Sistem kardiovaskular adalah sistem yang terdiri daripada jantung dan salur darah. Sistem kardiovaskular berfungsi untuk mengangkut bahan makanan, perkumuhan dan sebagainya. Tiga komponen asas di dalam sistem ini adalah darah, jantung dan salur pembuluh darah. Ketiga-tiga komponen ini harus berfungsi agar sistem kardiovaskular dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Jika salah satu daripada komponen ini rosak, maka sistem ini akan gagal berfungsi. Sistem kardiovaskular mempunyai fungsi utama iaitu mengangkut oksigen daripada paru-paru dan bahan nutrien yang diserap ke tisu-tisu.
Jantung merupakan pusat kepada sistem kardiovaskular. Oleh itu, jantung memainkan peranan utama dalam peredaran darah. Jantung mempunyai empat ruangan dan dianggap sebagai sebuah pam kerana ia berfungsi untuk mengalirkan dan mengedarkan darah ke seluruh tubuh.
Kedudukan jantung adalah di tengah-tengah bahagian dada di antara dua paru-paru. Bahagian pinggir bawahnya terletak di permukaan atas otot diafragma. Jantung biasanya bersaiz genggam penumbuk bagi orang dewasa. Darah berjumlah antara tiga hingga enam liter boleh dimuatkan di dalam jantung pada satu masa. Jantung dibahagi dua oleh septum. Oleh itu, bahagian kanan dan bahagian kiri jantung tidak berhubung secara langsung. Manakala di setiap belah jantung terdapat dua ruang. Ruang sebelah atas dikenali sebagai serambi jantung (atrium kanan dan kiri) dan bertugas menerima darah. Ruang sebelah bawah pula adalah bilik jantung (ventrikel kanan dan kiri) di mana tugasnya adalah menghantar keluar darah daripada jantung.
Jantung mula berdenyut pada akhir minggu ketiga bayi masih dalam peringkat fetus, iaitu ketika organ-organ lain baru mula membentuk. Ia terus-menerus berdenyut tanpa henti sejak janin di dalam kandungan ibu sehinggalah seseorang itu mati. Selama mana pun ia berdenyut, jantung juga masih mempunyai waktu rehat. Ia rehat pada waktu di antara dua denyutan. Ventrikel kiri mengambil 0.3 saat untuk berdenyut dan mengepam darah ke tubuh.
Kemudian jantung rehat selama 0.5 saat. Kadar denyutan jantung boleh meningkat mahupun menurun bergantung pada aktiviti seseorang. Kadar denyutan jantung meningkat semasa seseorang melakukan aktiviti berat dan menurun sewaktu rehat atau tidur. Sewaktu seseorang itu tidur, banyak salur darah kecil (kapilari) tidak aktif. Ini bermakna jantung tidak perlu mengepam darah ke bahagian tersebut dan denyutan jantung akan menurun. Jantung mendapat bekalan makanannya dari darah, tetapi bukan darah yang melalui empat ruangannya; sebaliknya, dari darah arteri koronari iaitu satu cabang salur darah (kanan dan kiri) aorta.
Sekiranya anda mengetahui tekanan darah anda 120/70 mmHg, sebenarnya tekanan ini dihasilkan oleh jantung sewaktu berdenyut. Angka 120 menggambarkan tekanan (dalam mmHg) sewaktu jantung mengepam (tekanan sistolik), manakala 70 mmHg menggambarkan tekanan sewaktu jantung rehat (tekanan diastolik). Angka bawah lebih penting daripada angka atas kerana semakin tinggi angka ini semakin sedikitlah waktu rehatnya. Juga semakin tinggi angka ini, semakin banyak kerja atau beban yang harus dipikul oleh jantung untuk memastikan bekalan darah sampai ke seluruh tubuh. Semakin tua seseorang itu, semakin tinggi tekanan darahnya kerana salur-salur darahnya menjadi semakin keras dan kurang elastik.
Sumber: Baharudin Omar dan Mohd Hamim Rajikin. (2005)
Jenis Lapisan Jantung
Jantung mempunyai beberapa lapisan. Lapisan-lapisan yang ada pada jantung:
1. Selaput Jantung (Perikardium)
- Meliputi jantung dan terbahagi dua
- Pertama, lapisan berserat di bahagian luar (lapisan parietal)
- Kedua, lapisan viseral iaitu lapisan serosa yang terdiri daripada dua lapisan selaput. Selaput ini berfungsi mengeluarkan bendalir jernih yang menghalang geseran apabila jantung berdenyut.
2. Otot Jantung (Miokardium)
- Dibina daripada otot bebas
- Keadaannya tebal di bilik kiri, kurang tebal di bilik kanan dan nipis di serambi jantung.
3. Selaput Jantung (Endokardium)
- Terbina daripada tisu epitelium skuamosa
- Lapisan ini berbentuk leper dan licin kerana ia merupakan lanjutan daripada lapisan dalam saluran darah.
Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid. (2001)
Fungsi Jantung
- Menjana dan mengekalkan tekanan darah. Denyutan jantung akan menjana tekanan darah dan seterusnya mengalirkan darah ke seluruh tubuh
- Mengarah peredaran darah. Peredaran darah dapat dilakukan ke beberapa tempat berdasarkan ruangan di dalam jantung
- Membawa bekalan darah ke tisu. Kadar denyutan jantung yang berbeza akan membuatkan jumlah darah yang dialirkan berbeza. Contohnya semasa bersukan dan semasa keadaan rehat. Semasa bersukan, lebih banyak darah dialirkan berbanding dengan keadaan berehat.
sumber: buku sumber sains sukan
Fahami Sistem Kardiovaskular Dengan Mudah
Reviewed by Coach M
on
August 05, 2019
Rating:
No comments: