Lokasi dan Tindakan Otot Utama


Otot kebanyakannya melekat secara langsung atau melalui tendon atau aponeurosis kepada tulang, rawan, ligamen atau fasia. Terdapat otot yang melekat pada organ dan ada juga yang melekat pada kulit. Otot yang berkontraksi akan menjadi pendek, tetapi salah satu tempat perlekatannya biasanya kekal, tidak bergerak atau bergerak sedikit sahaja.

Istilah punca (pelekatan proksimal) otot diberikan kepada bahagian yang tidak bergerak atau bergerak sedikit. Manakala istilah penyelitan (pelekatan distal) pula diberikan kepada bahagian yang yang bergerak atau bergerak lebih. Contoh, satu hujung otot bisep braki yang terletak di hadapan lengan atas melekat pada skapula dan hujungnya yang satu lagi melekat pada radius di lengan bawah. Apabila fleksi dilakukan oleh sendi siku untuk mengangkat barang, bisep braki berkontraksi. Hujung otot yang melekat pada skapula tetap dan tidak bergerak, tetapi hujung yang melekat pada radius menarik lengan bawah dan bergerak. Sebaliknya, jika kita memegang batang besi tetap yang terletak di atas kita dan menaikkan tubuh ke atas, hujung otot yang melekat pada radius akan tetap, tetapi hujung yang melekat pada skapula menarik tubuh ke atas dan bergerak.



Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid (2001) 

Oleh yang demikian, istilah punca dan penyelitan amat mengelirukan. Istilah baru diperkenalkan untuk mengelakkan kekeliruan. Istilah tersebut adalah perlekatan proksimal dan perlekatan distal. Hujung otot yang terletak berhampiran dengan tubuh badan dirujuk sebagai perlekatan proksimal. Manakala hujung otot yang terletak jauh dari tubuh badan atau hujung yang melekat pada organ dirujuk sebagai perlekatan distal.

(i) Tindakan otot utama

Terdapat empat cara tindakan yang dilakukan oleh otot. Tindakan tersebut adalah penggerak utama (prime mover), antagonis, penetap (fixator) dan sinergistik.

(ii) Penggerak utama

Sesuatu otot menjadi penggerak utama apabila otot tersebut bertindak sebagai otot yang utama atau sebahagian daripada sekumpulan otot yang bertanggungjawab terhadap sesuatu gerakan tertentu. Contohnya, otot bisep braki di hadapan lengan atas menjadi penggerak utama dalam gerakan fleksi sendi siku.

(iii) Antagonis

Antagonis adalah otot yang pergerakannya berlawanan dengan penggerak utama. Sebangai contoh, otot trisep yang terletak di belakang lengan atas melawan tindakan otot biseps braki apabila sendi siku berada dalam keadaan fleksi. Otot antagonis perlu berada dalam keadaan relaksasi yang seimbang sebelum otot penggerak boleh berkontraksi. Tindakan ini dikenali sebagai perencatan reflex saraf.

Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid. (2001)



(iv) Penetap

Penetap adalah otot yang berkontraksi secara isometrik. Ini bermaksud otot mempunyai panjang yang tetap dan ketegangan meningkat. Tindakan penetapan dilakukan untuk menstabilkan perlekatan proksimal otot penggerak utama. Ini akan menghasilkan tindakan otot yang berkesan. Contoh, otot yang melekatkan girdle pektoral pada badan. Otot ini berkontraksi sebagai penetap untuk membolehkan otot deltoid bertindak lebih berkesan pada sendi bahu.

(v) Sinergistik

Berfungsi sebagai penstabil sendi intermediat dan menghalang sebarang gerakan yang tidak diperlukan. Contohnya otot fleksor dan ekstensor pergelangan tangan berkontraksi untuk menetapkan sendi pergelangan tangan. Dengan ini, otot fleksor dan ekstensor Panjang bertindak dengan cekap pada sendi-sendi jari tangan. Otot-otot boleh menjadi sama ada penggerak utama, antagonis, penetap atau sinergistik. Semua tindakan ini adalah bergantung kepada gerakan yang perlu dilakukan oleh seseorang individu.  

Ringkasan Mengenai Otot
  • Sains anatomi dan fisiologi menunjukkan tentang organisasi struktur tubuh. Organisasi struktur tubuh mengandungi kepala dan leher, badan dan anggota.
  • Tisu-tisu tubuh terbahagi kepada empat bahagian iaitu tisu epitelium, tisu otot, tisu pengikat dan tisu saraf.
  • Usaha organisma mengekalkan kestabilan persekitaran dalaman melalui pengawalan suhu badan, peredaran oksigen dan kandungan garam (potasium, sodium dan klorida) dalam sel badan dikenali sebagai homeostasis.
  • Sistem rangka berfungsi sebagai perlindungan, penyokong, stor penyimpanan, pergerakan dan penghasilan sel darah.
  • Struktur tulang keras adalah terbina daripada unit-unit yang dinamakan sebagai sistem Havers. 
  • Tulang boleh diklasifikasikan kepada enam jenis iaitu tulang panjang, tulang pendek, tulang pipih, tulang tidak teratur (tidak simetri), tulang pneumatic dan tulang sesamoid.
  • Sistem sendi terbahagi kepada tiga iaitu sendi berserat (sinartrosis), sendi rawan dan sendi sinovial.
  • Sendi berserat (sinartrosis) terbahagi kepada dua iaitu sendi sutur dan sendi sindesmosis.
  • Sendi rawan pula terbahagi kepada dua iaitu sendi rawan primer (sinkondrosis) dan sendi rawan sekunder (simfisis).
  • Sementara itu sendi sinovial adalah sistem sendi yang terakhir. Sendi ini mempunyai ciri-ciri sendi sinovial seperti rawan artikular atau hialin, ligamen kapsul, kaviti sendi dan membran sinovial.
  • Terdapat enam jenis sendi sinovial iaitu sendi satah/sendi melongsor, sendi engsel, sendi pangsi/sendi putar, sendi elipsoid, sendi pelana dan sendi lesung/sendi soket.
  • Otot membolehkan tulang dan sendi membuat pergerakan. Pergerakan berlaku apabila otot melakukan kontraksi (pengecutan) dan pengenduran.
  • Otot terbahagi kepada tiga jenis iaitu otot jantung, otot licin dan otot rangka.
  • Otot membolehkan tulang dan sendi membuat pergerakan. Pergerakan berlaku apabila otot melakukan kontraksi (penguncupan) dan pengenduran.
  • Setiap satu otot rangka dibentuk oleh banyak serat. Setiap serat otot ini merupakan satu sel otot. Ukuran sel otot rangka adalah 50 -100 µm lebar dan panjang sehingga mencapai 10cm. Sel otot rangka berbentuk silinder dan panjang.
  • Otot rangka berfungsi sebagai agen penggerak, penetapan postur dan penghasilan haba.
  • Tindakan otot utama ialah sebagai penggerak utama, antagonis, penetap dan sinergistik.

sumber: buku sumber sians sukan
Lokasi dan Tindakan Otot Utama Lokasi dan Tindakan Otot Utama Reviewed by Coach M on August 10, 2019 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.