Apa itu Psikologi dalam Sukan?



Kebanyakan anggota masyarakat di negara ini mungkin memahami perkataan ‘psikologi’ berkait dengan emosi dan tingkah laku manusia, namun tidak ramai yang mengetahui tentang pertalian antara psikologi dan sukan.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘psikologi’ ditakrifkan sebagai kajian tentang proses mental dan pemikiran yang menghubungkan perlakuan manusia dan haiwan.

‘Sukan’ pula terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan untuk pertandingan, perlawanan, keseronokan, pembangunan, peningkatkan kemahiran, kecemerlangan diri dan pasukan dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan kemahiran.


Atas kesedaran itu, ramai jurulatih dan pengamal sukan di negara ini lebih menyedari pentingnya psikologi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet.

Psikologi merupakan satu bidang ilmu pengetahuan dan ilmu terapan yang dapat mempelajari mengenai perilaku dan fungsi mental dan kognitif manusia yang berbentuk ilmiah. Ia juga berkait rapat dengan emosi, perasaan dan tingkah laku dan secara realitinya semua individu tidak suka dipaksa dalam melakukan sesuatu perkara.

Ini juga menjadi isu yang dihadapi atlet mengenai sikap terbuka mereka sama ada untuk menerima sesuatu yang baharu atau tidak dalam kehidupan mereka.

Sehubungan dengan itu, kewujudan psikologi sukan di kalangan atlet amat penting untuk memupuk sikap atlet yang matang dan professional.

Bagi menjana kualiti atlet yang setaraf dengan atlet antarabangsa, pertubuhan seperti Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan agensi lain seperti Kementerian Pendidikan mewujudkan bengkel psikologi sukan kepada jurulatih dan pengamal sukan.

ISN juga berusaha menyediakan beberapa ahli psikologi sukan bagi membantu dalam kumpulan sukan tertentu dan mereka ini bertugas sepanjang masa bersama pasukan yang dipertanggungjawabkan dan bukan pada masa kejohanan sahaja.

Ringkasnya, tugas bagi seseorang ahli psikologi sukan bukan sekadar mengetahui apa yang berlaku di gelanggang serta kesan langsung terhadap atlet atau pegawai yang terbabit malahan mereka juga terlibat secara tidak langsung di luar gelanggang permainan.

Pihak ISN sendiri sebagai sebuah badan yang mengendalikan sukan di Malaysia, telah banyak merancang beberapa program yang bersesuaian dari aspek psikologi dan motivasi mengikut kumpulan sukan bagi membantu atlet meningkatkan prestasi mereka semasa latihan dan ketika pertandingan.

Antara program yang telah dirangka ialah sesi pendidikan, sesi praktikal, konsultansi secara individu atau berkumpulan, melakukan pemerhatian di lapangan semasa latihan atau semasa pertandingan dan melakukan ujian serta penilaian yang berkaitan.

Menerusi sesi pendidikan dan praktikal, para atlet akan didedahkan dengan teknik mengawal rasa 
kebimbangan dan kebangkitan pada diri mereka tetapi ia bergantung kepada atlet itu sendiri sama ada mahu mengaplikasikannya semasa latihan dan pertandingan.

Selain itu, teknik ini juga sama seperti latihan fizikal dan perlu membuat latihan secara berulang kali dalam suasana latihan supaya ia menjadi satu rutin dan akan bertindak secara automatik apabila diperlukan.

Walaubagimanapun, pandangan masyarakat atau penyokong tegar sesuatu jenis sukan tertentu terhadap atlet juga harus dititikberatkan kerana mereka sering menyalahkan atlet atau jurulatih yang terlibat apabila seseorang atlet atau pasukan itu gagal meraih sebarang pingat semasa pertandingan atau kejohanan.


Ada beberapa pendapat di kalangan pakar sukan adalah tidak wajar melabelkan pengamal sukan melalui pemerhatian semata-mata kerana para penyelidik atau saintis sukan lebih minat mencari teknik atau kaedah yang dapat memberikan impak positif dalam prestasi atlet berbanding mencari kelemahan atau kekurangan seseorang individu tersebut.

Tingkat kefahaman seseorang individu itu juga berbeza mengenai konsep ‘psikologi’ oleh kerana ia sangat subjektif menyebabkan pelbagai pihak lebih mudah memberikan persepsi mereka terhadap sesuatu situasi atau keadaan secara pandangan kasar sahaja.


Sumber: MSN
Semoga bermanfaat 👍👍
silakan share !!
Apa itu Psikologi dalam Sukan? Apa itu Psikologi dalam Sukan? Reviewed by Coach M on April 21, 2019 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.