1. Kecergasan Fizikal
Kecergasan fizikal merujuk kepada keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan dalam menghadapi cabaran dalam aktiviti fizikal harian dan menggunakan masa lapang dengan lebih efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk tujuan kecemasan.
2. Kecergasan Mental
Kecergasan mental merujuk kepada keupayaan individu untuk berfikir dan menggunakan maklumat untuk meningkatkan kualiti hidup seharian dan berfungsi secara optimal.
3. Kecergasan Sosial
Kecergasan sosial merujuk kepada keupayaan individu untuk berinteraksi dengan orang lain bagi mewujudkan perhubungan yang bermakna agar dapat meningkatkan kualiti hidup semua pihak yang terlibat dalam sesebuah hubungan.
4. Kecergasan Emosi
Kecergasaan emosi merujuk kepada keupayaan individu dalam menangani kehidupan harian serta perasaan kendiri secara membina, proaktif dan optimistik.
5. Kecergasan Rohani
Kecergasan rohani merujuk kepada keupayaan individu untuk membentuk satu sistem nilai dan bertindak berlandaskan kepercayaan. Seterusnya, individu menetapkan dan melaksanakan matlamat kehidupan yang bermakna dan konstruktif.
Kecergasan Fizikal
Kecergasan fizikal adalah keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan untuk menghadapi cabaran dalam aktiviti fizikal harian dan menggunakan masa lapang dengan lebih efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk tujuan kecemasan. Kecergasan fizikal dikaitkan dengan keupayaan individu untuk bekerja dengan lebih efektif dan menikmati masa kesenggangan, rehat, menentang penyakit hipokinetik dan menghadapi kecemasan.
Kecergasan fizikal yang optimal tidak mungkin dicapai tanpa senaman yang tepat dan berterusan. Komponen kecergasan fizikal terbahagi kepada dua jenis iaitu komponen kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan dan komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor.
Komponen kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan
1. Komposisi Tubuh
Komposisi tubuh adalah kadar relatif otot, lemak, tulang dan tisu-tisu lain yang membentuk tubuh. Individu yang cergas mempunyai peratus kandungan lemak yang rendah dan berkadar dengan berat badan dan ketinggian.
2. Daya tahan kardiovaskular
Daya tahan kardiovaskular adalah keupayaan sistem kardio-respiratori untuk melakukan kerja bagi satu jangka masa yang lama dan berterusan dengan intensiti kerja yang ringan atau sederhana.
3. Fleksibiliti
Fleksibiliti membenarkan sendi bergerak dengan licin dengan rintangan yang minimum. Fleksibiliti juga merujuk kepada julat pergerakan sendi iaitu Range Of Motion (ROM).
4. Kekuatan Otot
Kekuatan otot adalah keupayaan otot untuk mengatasi rintangan bagi menghasilkan daya (kerja).
5. Daya Tahan Otot
Daya tahan otot adalah keupayaan otot untuk melakukan aktiviti fizikal yang berulang-ulang atau berterusan bagi satu jangka masa yang lama dengan intensiti kerja yang ringan atau sederhana.
Komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor
1. Kelajuan
Kelajuan adalah keupayaan untuk melakukan pergerakan dalam masa yang singkat. Kelajuan merujuk kepada jarak pergerakan yang dicapai dalam satu jangka masa yang diberi.
2. Ketangkasan
Ketangkasan adalah keupayaan untuk mengubah posisi arah pergerakan atau kedudukan badan dengan pantas dan tepat dalam pelbagai situasi.
3. Kuasa
Kuasa adalah keupayaan untuk memindahkan tenaga kepada daya secara eksplosif. Kuasa dirujuk kepada gabungan kekuatan dan kelajuan pergerakan otot.
4. Imbangan
Imbangan adalah keupayaan untuk mengekalkan kedudukan badan dengan teguh dan stabil samada semasa melakukan pergerakan atau semasa pegun / kekal.
5. Masa reaksi
Masa reaksi adalah masa yang diambil oleh seseorang untuk bertindak setelah menerima rangsangan untuk berbuat demikian.
6. Koordinasi
Koordinasi adalah kebolehan menyelaras dan menyeragamkan pergerakan anggota badan
untuk menghasilkan sesuatu tindakan tertentu.
sumber: Buku Sumber Sains Sukan
Apa itu Kecergasan? Kecergasan Fizikal Berasaskan Kesihatan
Reviewed by Coach M
on
July 28, 2019
Rating:
No comments: