1. Pengajaran Dan Pembelajaran
Pada masa kini, para pendidik mempunyai persepsi yang agak negatif terhadap subjek pendidikan jasmani kesihatan (PJK) dan sukan sekolah. Kebanyakan pendidik mengangap PJK sebagai subjek main-main dan hanya berbentuk kokurikulum yang bukan berbentuk akademik. Maka situasi ini membuatkan PJK dan sukan tidak diajar dengan betul sebagaimana yang dibincangkan dalam teori pengajaran. Hal ini menyebabkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi subjek PJK dan sukan tidak dapat mencapai objektifnya.
Selain itu, terdapat juga sesetengah sekolah yang tidak melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran subjek PJK dan sukan kerana mereka menganggap subjek ini tidak bersifat akademik bahkan tidak penting dalam peperiksaan. Hal ini membuatkan pihak pengurusan sekolah tidak mengambil berat terhadap pelaksanaan PJK dan sukan di sekolah dan menganggap semua guru mampu mengajarnya.
Sekiranya guru yang tidak berkemahiran dalam PJK dan sukan mengajar subjek ini di sekolah, maka kesan yang tidak diingini akan terhasil. Salah satunya ialah kegagalan mencapai matlamat dalam PJK dan sukan itu sendiri yang merangkumi pertumbuhan otot dan saraf, pertumbuhan organ, pembentukan sosial dan emosi serta meningkatkan hubungan dikalangan pelajar. Hal ini juga memberi impak besar terhadap pelajar yang berada di sekolah rendah. Hal ini kerana, golongan pelajar yang berumur 7 hingga 12 tahun, mereka perlu menguasai kemahiran pergerakan asas yang optimum.
Kemahiran asas seperti belari, melompat dan melontar perlu dikuasai pasa usia awal. Kegagalan para pendidik untuk membangunkan komponen-kompenen tersebut dikatakan mampu menjejaskan kemampuan fizikal dan proses mental mereka apabila meningkat dewasa. Dengan kata lain, mereka kemungkinan akan tercicir daripada penyertaan dalam mana-mana aktiviti fizikal dan lebih mengamalkan gaya hidup yang pasif. Lebih teruk lagi, mereka mungkin akan menghadapai satu sindrom yang dipanggil sebagai Dyspraxia. Sekiranya hal ini berlaku, anda sebagai pendidik telah menghancurkan kemampuan sebenar yang ada dalam diri mereka selama-lamanya.
Langkah Penyelesaian
- Bagi mengatasi masalah ini, jurang akauntabiliti akademik subjek PJK dan sukan dengan subjek-subjek akademik lain perlu dikurangkan. Ubah mindset anda sebagai pendidik yang selama ini menganggap PJK dan sukan itu hanyalah perkara remeh dengan berusaha menggalakan pelajar terlibat secara aktif disamping memberi penekanan dalam akademik yang seimbang.
- Strategi untuk meningkatkan akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani ialah mesti melaksanakan proses pengajaran dan pendidikan yang betul oleh guru yang berkelayakan. Guru yang layak adalah guru yang sememangnya berpendidikan dalam bidang PJK dan Sains Sukan.
- Subjek PJK dan sukan juga perlu mempunyai proses penilaian dan pencerapan yang berterusan dari semua aspek melalui peperiksaan khas guru dan kad kemajuan pelajar bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.
- Semua pihak perlu mengiktiraf subjek PJK dan sukan ini sebagai subjek yang mempunyai akauntabiliti akademik sebagaimana subjek-subjek lain di sekolah yang mempunyai matlamat dan objektif tersendiri.
- Guru PJK dan sukan perlulah meningkatkan kemahiran mengajar dari masa ke semasa untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani dengan betul dan tepat. Adalah digalakkan supaya guru-guru PJK dan sukan di setiap daerah atau bahagian membuat perjumpaan khas untuk berkongsi kaedah baru dalam pengajaran. Untuk meningkatkan potensi anak didik, para pendidik tidak seharusnya mementingkan diri sendiri untuk mengejar nama atau pencapaian pribadi.
2. Peralatan
Kemudahan infrastruktur dan peralatan untuk menjalankan aktiviti PJK dan sukan di sekolah. Kawasan lapang seperti gelanggang permainan, padang bola dan ruang-ruang yang luas memainkan peranan penting dalam menjalankan sesuatu aktiviti sukan. Contohnya, kekangan yang biasa dihadapi oleh sekolah bandar ialah untuk mendapatkan kawasan padang permainan yang agak luas amatlah susah disebabkan faktor nilai hartanah yang tinggi. Hal ini membuat kawasan sekolah menjadi semakin sempit dan ruang untuk sekolah menyediakan kemudahan amat terhad.
Manakala sekolah-sekolah di kawasan pedalaman pula menghadapi kekangan dari segi kemudahan peralatan. Jika anda tinjau di sekolah-sekolah pedalaman dan luar bandar, jumlah peruntukan kewangan untuk membeli peralatan sukan sering digunakan untuk pembangunan sekolah dan aktiviti-aktiviti subjek lain walaupun setiap unit telah dibekalkan dengan peruntukan yang sama. Sekiranya unit lain tidak mempunyai kewangan yang cukup atau aktiviti yang dilakukan agak terlalu maka semestinya peruntukan daripada unit sukan akan dipotong untuk menampung aktiviti unit lain. Anda rasa itu adil?.
Kesan daripada hal ini, pelajar terpaksa menggunakan peralatan yang agak uzur, alatan yang sudah dimakan usia dan tidak selamat lagi untuk digunakan. Seandainya pihak pentadbir sekolah itu sendiri kurang berminat dalam bidang sukan, maka tumpuan yang agak kurang diberikan, begitu juga sebaliknya. Para guru terpaksa menggunakan kreativiti masing-masing dalam pengajaran mereka bagi menarik minat pelajar. Itu sahaja usaha yang anda ada sebagai pilihan terakhir daripada melihat potensi pelajar disia-siakan begitu sahaja.
Langkah Penyelesaian
- Setiap sekolah harus mempunyai peralatan dan kemudahan asas yang lengkap.
- Mengikut spesifikasi kemudahan sukan yang dikeluarkan oleh Pihak Kementerian Pelajaran, setiap sekolah diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya satu padang dan gelanggang di setiap sekolah tersebut.
- Pemilihan peralatan perlu berdasarkan spesifikasi umur dan pertandingan.
- Kualiti alat perlu dipertimbangkan dalam pemilihan alatan dan keselamatan pengguna perlu dititikberatkan.
- Seterusnya pihak kementerian juga harus menyediakan peralatan dan kemudahan tambahan yang lain bagi menambah peralatan dan kemudahan yang sedia ada.
- Pelajar dapat merasai penggunaan pelbagai jenis peralatan dan kemudahan sukan dalam proses pembelajaran mereka.
- Mendedahkan mereka dengan penggunaan dan pengendalian sesuatu peralatan sukan tersebut.
- Membantu pelajar dalam mengenal peralatan sukan tersebut dengan lebih mendalam dan merasai cara penggunaan dan pengendaliannya sendiri.
- Peralatan dan kemudahan yang lengkap membantu guru dalam mengajarkan pelajar lebih banyak jenis permainan sukan.
3. Guru Berkelayakan
Subjek PJK di sekolah rendah dan menengah sepatutnya diajar oleh mereka yang berkelayakan dalam bidang Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan (guru opsyen). Hal ini kerana mereka telah didedahkan dengan ilmu dan pedagogi semasa dalam kursus pengajiannya. Namun demikian, masih terdapat guru-guru yang bukan dalam bidang Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan disuruh untuk mengajar PJK dan sukan. Perkara ini berlaku kerana kurangnya guru mahir PJK dan sukan.
Pihak sekolah masih beranggapan bahawa PJK boleh diajar oleh semua guru kerana ia bukan berunsur peperiksaan dan pendekatan mengajar adalah lebih kepada bermain-main. Tanggapan tersebut adalah tidak berasas kerana peranan guru ialah menyampaikan ilmu pengetahuan dalam pelbagai pendekatan kepada murid untuk mereka menimba pembelajaran yang berkesan. Persoalannya disini adalah, adakah guru opsyen dan bukan opsyen yang mengajar PJK di sekolah mempunyai ilmu pengajaran dan pembelajaran yang sebenar?
Jawapannya, seseorang guru perlu menguasai teras pengetahuan terutamanya ilmu untuk mengajar dengan berkesan dalam bidangnya. Hal ini penting kerana matlamat pengajaran seseorang guru ialah untuk melaksanakan sebaik mungkin proses pembelajaran yang berkesan agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan dapat memotivasikan murid dengan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan.
PJK dan sukan ini bukan bersifat “ikut apa yang cikgu suruh buat” sahaja. Pengajaran yang berkesan ialah bersifat “bagaimana nak lakukan dan mengapa perlu lakukan kemahiran itu”. Peranan utama PJK dan sukan adalah untuk memperkembangkan pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan sikap melalui aktiviti sukan supaya murid menjadi pengamal dalam membudayakan sukan untuk kesihatan dan kecergasan.
Langkah Penyelesaian
- Menempatkan lebih ramai graduan PJK dan Sains Sukan di setiap sekolah, bergantung kepada saiz dan situasi sekolah tersabut. Kemudian, penempatan mereka seeloknya yang lebih memahami budaya aktiviti dan sukan di sesebuah kawasan sekolah. Hal ini akan membantu memaksimumkan lagi pencapaian dan penglibatan pelajar dalam sukan.
- Latihan kemajuan tenaga pengajar atau klinik pengajaran perlu dititikberatkan bagi membentuk guru yang mempunyai pengetahuan terkini dalam aktiviti fizikal.
- Pihak pentadbiran sekolah perlu memastikan bahawa guru yang berkelayakan yang mengajar PJK bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan lebih mendalam.
4. Politik Dalam Sukan
Politik memainkan peranan besar dalam perkembangan sukan samada dalam atau di luar negara. Oleh sebab kerajaan ingin melihat sukan sebagai ejen sosialisasi dalam memartabatkan negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi tanggungjawab tersebut. KBS menjadi penaung kepada badan-badan induk iaitu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Di bawah badan induk ini, terdapat pula gabungan badan sukan kecil. Kebanyakkan badan ini dipimpin oleh mereka yang berpengaruh. Keadaan ini adalah satu fenomena yang sihat. Walau bagaimanapun isu yang sering berlaku dalam sukan negara kita ialah perebutan jawatan tertinggi dalam sesuatu badan sukan.
Apabila mesyuarat agung dilakukan, sering berlaku perebutan kuasa untuk memimpin persatuan tersebut. Terdapat beberapa keistimewaan sekiranya seseorang itu berjaya menjawat jawatan penting dalam sesebuah badan sukan. Antaranya ialah menaikkan nama dan populariti pemimpin persatuan tersebut disamping berjaya memperoleh habuan yang istimewa jika pasukan di bawah naungannya berjaya.
Ada pihak yang sanggup menggunakan pelbagai cara termasuk wang, lobi-melobi dan mencari publisiti murahan untuk memenangi jawatan tersebut. Berita pertelingkahan atau perbezaan pendapat antara pegawai-pegawai dalam sesuatu badan sukan sering dipaparkan dalam akhbar. Terdapat juga perbezaan pendapat antara presiden sesuatu badan sukan dengan pegawai badan induk sukan. Isu-isu perbezaan pendapat atau pertelingkahan ini banyak berkisar mengenai pemilihan atlet, prestasi atlet yang merosot, elaun atlet, pelantikan jurulatih serta disiplin atlet dan pegawai. Keadaan ini memberi kesan yang tidak baik kepada atlet negara. Jalan penyelesaian bagi isu-isu ini juga sering melibatkan pemimpin politik seperti Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan.
Langkah Penyelesaian
- Kurangkan politik dalam persatuan sukan, banyakkan program sukan di peringkat akar umbi dan dedahkan atlet dengan ilmu akademik supaya mereka bijak berfikir ketika beraksi di gelanggang, bukannya semata-mata bergantung kepada bakat.
- Pemimpin persatuan bijak menyusun atur program dan pengurusan dan membantu altet menguatkan minda dan mental yang cukup bersedia untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
- Penekanan harus diberikan kepada isu bagaimana menstabilkan pemimpin persatuan serta meningkatkan hubungan dengan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya dapat bekerjasama lebih baik.
- Pemimpin persatuan sukan harus dipilih daripada mereka yang berkaliber, tiada kepentingan peribadi serta meminta soal gaji, kebajikan dan masa depan atlet diutamakan.
- Sukan boleh ditukar kepada industri sukan masa hadapan yang dikawal selia jawatankuasa Institut Sukan Negara bersama jurulatih negeri masing-masing.
Rumusannya, Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan adalah cabang pendidikan untuk melahirkan pelajar yang cergas melalui pembelajaran fizikal dan meningkatkan tahap kecergasan. Disamping itu, pelajar diharapkan agar dapat meningkatkan pengetahuan kesihatan ,memupuk sikap positif dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Melalui mata pelajaran PJK, pelajar dapat mempertingkatkan dan meningkatkan tahap kecergasan berasaskan kesihatan dan lakuan motor dengan menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri. Selain itu, pelajar dapat melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian.
Melalui aktiviti fizikal ini juga, pelajar dapat membentuk sahsiah diri dan disiplin. Apa yang lebih penting lagi ialah pelajar seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Oleh sebab itu, semua pihak perlu bekerjasama dalam mempertingkatkan mata pelajaran pendidikan jasmani dan sukan di Malaysia kerana sukan adalah salah satu cara untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
sumber: Blog Pendidikan (MTE3012)
Cabaran Dalam Pendidikan Jasmani dan Sukan
Reviewed by Coach M
on
July 28, 2019
Rating:
facebook,com
ReplyDelete