Apa Itu Sendi? - Definisi, Jenis-jenis dan Strukturnya


Seperti yang diketahui umum, tulang adalah struktur yang begitu keras dan tidak boleh membengkok. Namun begitu, tulang adalah berasingan di antara satu sama lain dan terikat di antaranya dengan sendi melalui tisu perantara yang mudah lentur (fleksibel). Sendi bertanggungjawab terhadap semua pergerakan dan perubahan kedudukan tubuh. Boleh dikatakan di sini bahawa sendi adalah titik pertemuan antara tulang-tulang atau antara rawan dengan tulang.



Sumber: Baharudin Omar dan Mohd Hamim Rajikin (2005)

Fungsi sendi adalah bergantung kepada strukturnya. Semakin rapat hubungan pada titik pertemuan, semakin kuat sendi tersebut. Namun pergerakannya agak terbatas. Sebaliknya pula, jika longgar hubungan pada titik pertemuan, maka semakin banyak pergerakan yang boleh dilakukan. Kelemahan bagi sendi yang longgar hubungan pada titik pertemuan adalah ia mudah terkehel atau mengalami dislokasi. Pergerakan sendi juga amat dipengaruhi oleh kelenturan tisu perantara yang mengikat tulang serta kedudukan ligamen, otot dan tendon.  

Jenis Dan Struktur

Terdapat tiga jenis sendi yang utama iaitu:

1. Sendi Berfiber (Sinartrosis)

Sendi ini mempunyai tisu berfiber yang menghubungkan permukaan artikular tulang. Tulang-tulang pada sendi ini terikat rapat antara satu sama lain dan ianya tidak mempunyai kaviti di dalamnya. Oleh kerana tulang terikat amat rapat di antara satu sama lain, maka pergerakan pada sendi ini amat sedikit atau tiada sama sekali. Sendi berfiber ini pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

(i) Sendi sutur
  • Menghubungkan permukaan artikular tulang melalui lapisan nipis tisu berfiber. 
  • Amat ketat dan tiada pergerakan pada sendi sutur.
  • Sendi ini bercantum dan menjadi tulang apabila dewasa.
  • Contoh, perhubungan antara tulang leper pada tengkorak.
A= rajah skema sendi sutur: tulang-tulang dihubungi oleh lapisan nipis tisu berserat.
B = pandangan superior tengkorak yang menunjukkan sendi sutur
Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid (2001)

(ii) Sendi sindesmosis
  • Menghubungkan permukaan artikular tulang dengan tisu berfiber yang agak banyak.
  • Boleh digerakkan dan tidak menjadi tulang apabila dewasa.
  • Contoh, sendi antara hujung bawah tibia dan fibula.
Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid (2001)
(b) Sendi Rawan

Sendi rawan adalah di mana tisu rawan menjadi penghubung sendi bagi permukaan artikular tulang. Sendi ini juga mempunyai pergerakan yang sedikit atau tiada sama sekali. Sendi rawan terbahagi kepada dua:

(i) Sendi rawan primer (Sinkondrosis)
  • Juga dikenali sebagai sendi rawan hialin kerana tulang dihubungkan melalui rawan hialin.
  • Sendi ini tidak bergerak dan menjadi tulang apabila dewasa.
  • Contoh, plat episifis pada tulang yang baru tumbuh.
Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid (2001)


(ii) Sendi rawan sekunder (Simfisis)
  • Permukaan artikular tulang diselaputi rawan hialan di mana rawan hialin dihubungkan dengan tisu berfiber.
  • Dikenali juga sebagai sendi rawan berfiber.
  • Sendi ini boleh bergerak kerana tisu berfiber yang mencantumkan tulang-tulang di dalam sendi ini agak tebal.
  • Contoh, sendi di antara badan vertebra. 
Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid (2001)

(c) Sendi Sinovial

Sendi sinovial adalah sendi yang paling banyak berfungsi pada tubuh badan. Sendi ini membolehkan pergerakan bebas berlaku antara tulangtulang yang terdapat di dalamnya. Terdapat pelbagai jenis sendi synovial dan mereka mempunyai ciri-ciri yang serupa. Ciri-ciri tersebut adalah:

(i) Rawan artikular atau hialin

Bahagian tulang yang bersentuhan diliputi oleh rawan hialin. Ini membolehkan sendi dan tulang ini menampung berat tubuh seseorang.

(ii) Ligamen kapsul

Sendi sinovial dikelilingi dan diselaputi oleh sarung tisu berfiber yang berfungsi memegang tulang. Keadaan tisu berfiber ini sangat longgar, maka pergerakan bebas pada sendi ini boleh dilakukan. Ia juga berfungsi melindungi sendi daripada mengalami kecederaan. Ligamen kapsul ini biasanya melekat di sepanjang batas permukaan artikular.

(iii) Kaviti sendi

Terletak di antara permukaan artikular tulang, khususnya di dalam kapsul.

(iv) Membran sinovial


Merupakan lapisan epitelium skuamus ringkas yang menutupi permukaan dalam kapsul termasuk permukaan tulang di dalam sendi yang tidak diselaputi rawan hialin. Bendalir sinovial dirembeskan oleh sendi sinovial. Tujuannya untuk membolehkan sendi sentiasa basah dan membekalkan nutrien kepada rawan artikular. Setiap sendi mempunyai kandungan bendalir sinovial yang berbeza. Tujuan utama bendalir sinovial adalah untuk melicinkan pergerakan sendi.  

Terdapat enam jenis sendi sinovial:

Sumber: Baharudin Omar dan Mohd Hamim Rajikin (2005)


(i) Sendi satah/sendi melongsor
  • Tidak mempunyai paksi, maka dua permukaan datar tulang saling melongsor di antara satu sama lain.
  • Tidak boleh melakukan pergerakan fleksi, ekstensi, abduksi,aduksi atau putaran.
  • Contoh, sendi karpus dan tarsus.

(ii) Sendi engsel
  • Mempunyai hanya satu paksi transvers.
  • Pergerakan terbatas kepada satu satah sahaja. Pergerakan ini menyerupai pergerakan pada engsel pintu iaitu tutup (fleksi) dan buka (ekstensi).
  • Contoh, sendi siku.

(ii) Sendi pangsi/sendi putar

  • Mempunyai satu paksi yang membolehkan pergerakan putaran tulang.
  • Contoh, putaran kepala radius pada sendi radioulna proksimal.

(iii) Sendi elipsoid

  • Mempunyai dua paksi, iaitu paksi transvers dan paksi yang merentasi sendi sepanjang anterioposterior.
  • Sendi ini boleh bergerak dalam dua arah iaitu ke belakang dan ke depan, fleksi dan ekstensi pada paksi transvers dan aduksi dan abduksi pada paksi anteriorposterior.
  • Contoh, pergelangan tangan.

(iv) Sendi pelana

  • Permukaan artikular kedua-dua tulang berbentuk pelana.
  • Permukaan satu tulang berbentuk cembung dan satu lagi berbentuk cekung.
  • Merupakan sendi elipsoid yang terubah suai dan boleh bergerak dengan lebih bebas.
  • Contoh, metakarpus ibu jari.

(v) Sendi lesung/sendi soket

  • Permukaan artikular tulang berbentuk bulat dan boleh dimasukkan ke dalam soket tulang lain yang berbentuk seperti cawan.
  • Sendi ini boleh bergerak dalam tiga satah: pergerakan fleksi dan ekstensi; abduksi dan aduksi; dan putaran dan sirkumduksi.
  • Contoh, sendi bahu.

Fungsi Sendi

Fungsi sendi yang utama adalah untuk membuat pergerakan. Pergerakan pada sendi boleh dibahagikan kepada tiga yang utama iaitu:

(a) Gerakan Meluncur
Merupakan pergerakan geseran di antara dua permukaan pipih. Contohnya adalah pergerakan antara tulang-tulang karpal dan tarsal.

(b) Gerakan Bersudut
Adalah diterangkan sesuai dengan arah pergerakan berlaku seperti fleksi, lenturan dan pelipatan.

(c) Gerakan Putaran
Menerangkan tentang satu tulang yang bergerak mengitari tulang lain atau di dalam tulang lain. Contohnya seperti putaran radius mengelilingi ulna. 

Antara gerakan-gerakan lain yang berlaku adalah sirkumduksi iaitu kombinasi gerakan putaran dan bersudut. Gerakan ini selalunya melibatkan putaran dalam lingkaran. Contohnya pergerakan sirkumduksi adalah gerakan membawa lengan ke depan, ke atas, ke belakang dan ke bawah.


Sumber: buku sumber sains sukan


Apa Itu Sendi? - Definisi, Jenis-jenis dan Strukturnya Apa Itu Sendi? - Definisi, Jenis-jenis dan Strukturnya Reviewed by Coach M on August 03, 2019 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.