Perbezaan Metabolisme Karbohidrat, Lipid dan Protein


1. Metabolisme Karbohidrat

Karbohidrat berubah menjadi kanji dan gula hasil daripada tindak balas dengan enzim dalam air liur. Gula dan kanji akan dicernakan menjadi glukosa dan diserapkan ke dalam darah.

Glukosa yang dibawa oleh darah akan disimpan di dalam hati dan otot tulang dan dipanggil sebagai glikogen. Pada peringkat ini, aktiviti insulin adalah diperlukan. Semasa aktiviti otot berlaku, glikogen akan digunakan. Glikogen yang telah digunakan akan digantikan kembali dengan glukosa gula darah mengikut keperluan tubuh badan.

Semasa kita sakit pula, badan memerlukan kalori yang banyak. Karbohidrat merupakan bahan makanan yang senang dicernakan dan diasimilasikan. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak makanan berkarbohidrat berbanding makanan berprotein dan lemak.

Proses pencernaan adalah proses yang menukarkan bahan makanan kepada bentuk kimia yang boleh diserap oleh sel-sel dalam badan. Semasa pencernaan, ptialin bertugas untuk mengubah kanji masak menjadi maltosa. Enzim di dalam usus iaitu invertasi, maltase dan laktase bertugas menghasilkan pemecahan akhir pada maltosa menjadi pelbagai monosakarida. Monosakarida yang terhasil adalah laevulosa, glukosa dan galaktosa.



Semasa penyerapan, monosakarida akan diserap ke dalam darah. Kawalan insulin dan aktiviti hati pada saat ini adalah berfungsi untuk mengekalkan peratus gula darah. Haba dan tenaga dibekalkan hasil daripada pengoksidaan karbohidrat dalam tisu. Selebihnya disimpan sebagai lemak dan menjadi penambah berat badan. 

Hasil muktamad metabolisma karbohidrat adalah dalam bentuk karbon dioksida dan air. Air disingkirkan melalui sistem perkumuhan iaitu sebagai air kencing (sistem urinari) dan peluh (kulit). Manakala, karbon dioksida dikeluarkan dari sistem tubuh melalui paru-paru. 

Keperluan kalori bagi individu yang menjalankan aktiviti, umur dan jantina yang berbeza.



2. Metabolisme Lipid (Lemak)

Lemak disimpan di dalam tisu adiposa sehinggalah ia diperlukan oleh tubuh badan. Ia akan dikeluarkan apabila diperlukan dan berubah menjadi gliserol dan asid lemak semasa simpanan dalam hati. Lemak diubah menjadi gliserol dan asid lemak kerana ia adalah bentuk yang paling mudah dapat digunakan oleh tubuh badan.

Untuk menghasilkan haba dan tenaga dalam tisu, lemak digunakan sebagai bahan api dalam proses pembakaran. Ia akan terbakar seluruhnya menjadi karbon dioksida dan air jika terdapat jumlah gula yang mencukupi. Tetapi jika jumlah gula yang ada hanya sedikit atau tiada langsung, pembakaran menjadi tidak lengkap. Hasil daripada pembakaran yang tidak lengkap ini adalah bahan keton. Jika zat keton yang dihasilkan terlalu banyak maka, ketosis akan berlaku.

Selalunya ketosis berlaku kepada individu yang sedang dalam keadaan kelaparan di mana tubuh tidak mempunyai sesuatu untuk digunakan kecuali lemak dalam tisu adiposa. Ia juga berlaku pada pesakit diabetes dan pengamal diet yang mengambil terlalu banyak lemak tetapi kurang karbohidrat.

Dalam proses pencernaan, terdapat sedikit hidrolisis lemak yang dihasilkan oleh lipase gastrik. Manakala lipase pankreas dan lipase usus memecahkan lemak menjadi gliserin dan asid lemak.

Dalam penyerapan pula, gliserin dan asid lemak akan diserap oleh lakteal. Apabila ia sudah diserap oleh lakteal, ia akan disalurkan ke ductus toraksik kemudian masuk ke dalam aliran darah. Apabila sudah berada di dalam darah, lemak akan dihantar ke setiap sel di tubuh badan.



Lemak yang sudah dioksidasikan di dalam hati akan disimpan di dalam tisu. Semasa disimpan di dalam hati, sesetengah lemak dioksidakan oleh karbohidrat untuk menghasilkan haba dan tenaga. Sebahagian lemak yang mengandungi vitamin A dan D akan disimpan. Hasil akhir yang menjadi bahan buangan adalah sama seperti yang berlaku dalam metabolisma karbohidrat iaitu karbon dioksida dan air. Cara perkumuhannya juga sama iaitu karbon dioksida oleh paru-paru, manakala air oleh kulit dan sistem urinari.

Keperluan lemak oleh seorang individu adalah tidak kurang daripada 50gm setiap hari. Tubuh memerlukan 30% kalori daripada lemak. 

3. Metabolisme Protein

Protein diubah menjadi asid amino oleh tindakan dengan enzim bendalir perut, pankreas dan usus. Asid amino diperlukan untuk tugas pertumbuhan dan pembaikan tisu tubuh. Jumlah asid amino yang dipecahkan di dalam hati adalah banyak jika kita mengambil makanan yang mengandungi banyak protein. Asid amino dipecahkan untuk mengeluarkan nitrogennya, maka yang tinggal untuk penghasilan haba dan tenaga adalah karbon, hidrogen dan oksigen.

Semasa proses pencernaan di dalam perut, pepsin menukarkan protein menjadi pepton. Sementara di dalam usus pula, tripsin bertugas untuk memecahkan protein dan pepton kepada polipeptida. Kemudian daripada polipeptida ditukarkan menjadi asid amino hasil tindak balas dengan erepsin.

Pada proses penyerapan yang berlaku dalam darah, asid amino akan membawa nitrogen dan sulfur ke setiap sel dalam tubuh. Untuk pertumbuhan dan pembaikan, asid amino yang diperlukan akan dipisahkan oleh sel tubuh.

Hasil kumuh daripada metabolisma protein adalah urea, sedikit asid urik dan kreatinin. Semua bahan kumuh ini disingkirkan ke dalam bentuk urin oleh ginjal. Sebanyak lebih kurang 30gm urea disingkirkan setiap hari dari badan melalui jalan ini bersama dengan sedikit asid urik dan kreatinin.

Keperluan Protein yang Diperlukan di Negara Tropika

Kawalan metabolisme dilakukan oleh dua faktor iaitu:

(i) Sistem saraf pusat dan tidak sedar (involuntary)

Apabila tiada bekalan saraf pada sekelompok otot maka kelumpuhan akan berlaku. Otot akan menjadi kurus, bahagian tersebut tidak dapat berfungsi dan pertumbuhan bahagian tersebut akan terbantut.

(ii) Organ endokrin



Seperti yang kita pelajari, dalam sistem endokrin terdapat organorgan tertentu menghasilkan zat yang bersifat kimia untuk mengawal kesihatan tubuh. Contoh; aktiviti metabolisme menjadi berkurangan apabila rembesan kelenjar tiroid tiada, manakala metabolisme akan terjadi dalam kadar yang sangat besar apabila rembesan tiroid terlalu banyak.


Sumber: buku sumber sains sukan





Perbezaan Metabolisme Karbohidrat, Lipid dan Protein Perbezaan Metabolisme Karbohidrat, Lipid dan Protein Reviewed by Coach M on August 03, 2019 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.