Islam sebagai ad-Din iaitu satu cara hidup yang lengkap meliputi segala persoalan hidup manusia. Justeru, bersesuaian dengan sifat kesyumulan Islam itu sendiri, Islam telah membawa kesejahteraan dari pelbagai aspek kehidupan. Menurut Zulekha Yusoff et.al (2006), penjagaan kesihatan adalah sebahagian daripada persoalan kehidupan dan ia juga merupakan sebahagian daripada tujuan syariat. Keseluruhan syariat Islam adalah untuk mencapai tujuan menjaga agama, jiwa, harta, akal dan keturunan. Oleh itu, keprihatinan Islam terhadap kehidupan meliputi aspek kesihatan kerana hidup tidak akan sejahtera tanpa kesihatan yang baik.
Islam turut menekankan pembangunan dan penjagaan fizikal seseorang individu. Tubuh badan yang sihat amat perlu bagi membolehkan seseorang itu melakukan tugas sebagai khalifah Allah SWT dengan sempurna. Terdapat beberapa perkara yang digariskan dalam konsep pencegahan menurut Islam antaranya ialah penjagaan kebersihan diri dan persekitaran, pemakanan yang seimbang, perlakuan dan aktiviti fizikal (senaman) dan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah dalam aspek kerohanian (Danial Zainal Abidin, 2003).
Aktiviti fizikal merupakan antara komponen utama dalam kehidupan kita. Islam amat menggalakkan umatnya untuk melakukan aktiviti fizikal kerana ia dapat memberi kesan yang baik terhadap kesihatan manusia serta dapat mencegah diri daripada pelbagai penyakit berbahaya (Danial Zainal Abidin, 1998).
Rasulullah SAW menggalakkan aktiviti sebegini melalui hadisnya iaitu :
“Memanah dan menungganglah. Sesungguhnya kamu memanah lebih aku sukai daripada kamu menunggang. Setiap apa yang seseorang muslim itu bersuka-suka dengannya adalah sia-sia kecuali aktiviti memanah dengan busar, melatih kudanya dan gurau sendanya dengan isterinya. Sesungguhnya segala itu termasuk dalam perkara yang benar.”
(Riwayat Ibn Majah)
Ini adalah sebagai bukti bahawa Islam sangat mengambil berat terhadap aktiviti riadah bagi melahirkan individu yang kuat dan sihat serta bersedia untuk melakukan apa sahaja tugas yang akan diberikan. Dengan lain perkataan, hal ini jelas menunjukkan betapa Islam menggalakkan umatnya supaya menjaga kesihatan mental dan fizikal serta berusaha menjadi umat yang kuat dan cergas sepanjang masa. Islam juga mengajar manusia supaya menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit.
Namun kebanyakan daripada masyarakat pada hari ini mengabaikan senaman dengan memberi pelbagai alasan termasuk kesibukan dengan kerja. Sikap sebegini amat merugikan kerana banyak faedah yang akan diperolehi dengan mengamalkan senaman dan mengekalkan kecerdasan selain dapat menghindari diri daripada serangan penyakit.
Tidak kira golongan tua atau muda, aktiviti mengeluarkan peluh atau bersenam hendaklah dijadikan amalan. Kesihatan tidak akan terpelihara hanya dengan mengawal pemakanan sebaliknya rutin senaman perlu dilakukan secara sistematik.
Walaupun kepentingan senaman dan faedah daripada senaman yang kerap jelas diketahui umum namun penglibatan masyarakat dalam aktiviti senaman agak membimbangkan. Fenomena ini turut merisaukan pelbagai pihak kerana kita dapati masalah kegemukan menjadi ancaman penyakit dan isu kesihatan yang hangat dibicarakan. Ramai di kalangan wanita yang mengalami obesiti akibat daripada kurangnya aktiviti fizikal. Oleh itu, senaman adalah sebagai salah satu cara bagi membantu mengawal berat dan memperbaiki bentuk badan, menghalang atau melengahkan penyakit kronik, melewatkan proses penuaan dan meningkatkan keyakinan diri.
Masalah kesihatan turut mengalami perubahan yang dahulunya kebanyakan masyarakat hanya menghadapi masalah kekurangan zat dan vitamin. Jika dilihat pada masa sekarang kita dapati telah berubah dan sebahagian masyarakat mengalami masalah kesihatan disebabkan makan secara berlebihan dan kurang melakukan aktiviti fizikal yang seterusnya membawa kepada masalah lebihan kolestrol dan kegemukan.
Menurut Utusan Malaysia Online yang bertarikh 17 Mei 2009 menjelaskan bahawa gaya hidup yang tidak aktif merupakan faktor risiko utama kepada serangan penyakit terutama bagi penyakit jantung dan kardiovaskular (http://www.utusan.com.my). Ratusan kajian telah menunjukkan bahawa senaman yang kerap adalah penting bagi kesihatan tubuh badan dan seterusnya memperbaiki tahap kesihatan dan kualiti hidup. Tambahan lagi, gaya hidup masyarakat yang semakin moden telah menyebabkan munculnya banyak peralatan yang menggunakan teknologi bagi memudah dan mempercepatkan sesuatu urusan.
Oleh itu, kita seharusnya melihat arus penyakit pada hari ini lebih menjurus kepada unsur pemakanan dan gaya hidup walaupun mungkin terdapat juga faktor persekitaran yang menyumbang kepada masalah penyakit tersebut. Sepatutnya, masyarakat perlu mempunyai kesedaran dalam diri untuk menggiatkan lagi penjagaan kesihatan walaupun dalam usia muda kerana pengabaian kesihatan menyebabkan kita ditimpa pelbagai penyakit.
Penjagaan kesihatan diri bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh oleh setiap orang. Namun begitu, tidak ramai yang menitikberatkan soal penjagaan kesihatan diri masing-masing yang seterusnya mengundang kepada pelbagai penyakit berbahaya.
sumber: Nur Syamimi Binti Azizan (2011)
Penjagaan Kesihatan Menerusi Senaman Dari Perspektif Islam
Reviewed by Coach M
on
August 22, 2019
Rating:
Untuk mempermudah kamu bermain guys www.fanspoker.com menghadirkan 6 permainan hanya dalam 1 ID 1 APLIKASI guys,,,
ReplyDeletedimana lagi kalau bukan di www.fanspoker.com
WA : +855964283802 || LINE : +855964283802 ||