Sebahagian besar daripada berat tubuh manusia adalah disumbangkan oleh otot. Kira-kira 40 hingga 50 peratus jumlah berat tubuh manusia terdiri daripada otot. Otot membolehkan tulang dan sendi membuat pergerakan. Pergerakan berlaku apabila otot melakukan kontraksi (pengecutan) dan pengenduran. Untuk membolehkan otot berfungsi ia disambungkan pada tulang, tulang rawan, ligamen dan kulit. Otot yang terletak di bawah permukaan kulit berbentuk mendatar, manakala otot pada anggota gerak adalah berbentuk lebih panjang.
Jenis-jenis Otot
Otot terbahagi kepada tiga jenis:
(a) Otot Jantung
Berbentuk segi empat tepat dan dibentuk oleh gentian otot jantung. Merupakan sejenis otot bebas yang istimewa kerana ia boleh bertindak tanpa rangsangan saraf. Oleh itu, jantung adalah dikategorikan sebagai otot tak voluntari (otot luar kawal). Ia tidak boleh dikawal secara sedar. Gentian-gentian otot jantung bercabang antara satu sama lain. Cabang-cabang ini membentuk seperti satu jaringan. Setiap gentian merupakan sel tunggal yang dikelilingi oleh membran sel. Semua gentian akan terangsang jika salah satu sahaja serat dalam jaringan tersebut dirangsang.
(b) Otot Licin
Ianya sama seperti otot jantung, di mana ia adalah otot tak voluntari. Perbezaannya dengan otot jantung adalah otot licin tidak berjalur. Gentian otot licin berbentuk fusiform (gelendong). Terdapat satu nukleus berbentuk bujur di tengahnya. Ukuran serat ini di antara 30 200 øm panjang dan bahagian yang terlebar berukuran antara 5 10 µm. Dua jenis tisu yang dibentuk oleh otot licin ialah:
(i) Tisu otot visera (Unit tunggal)
Selalu terdapat di dinding luar arteri dan vena kecil serta visera berongga seperti gaster, usus, uterus dan pundi kencing. Tisu otot ini terikat kuat antara satu sama lain untuk membentuk satu jaringan yang berterusan. Serat-serat akan terangsang apabila impuls dihantar melalui gelombang dalam bentuk kontraksi.
(ii) Tisu otot licin (Berbilang unit)
Setiap satu tisu otot ini mempunyai akhiran saraf motor yang tersendiri. Oleh yang demikian, hanya otot yang terangsang sahaja yang akan berkontraksi. Tisu ini boleh didapati di dinding arteri besar, saluran udara besar paru-paru, otot arektor pili yang melekat pada folikel rambut dan iris mata.
Sumber: Baharudin Omar dan Mohd Hamim Rajikin (2005)
(c) Otot Rangka
Kebanyakan otot ini melekat pada rangka dan menghasilkan pergerakan rangka. Dikenali juga sebagai otot voluntari kerana ia boleh dikawal secara sedar. Kadangkala ia dipanggil juga otot berjalur kerana mempunyai jalur yang merentasinya. Otot rangka selalunya melekat pada tulang dan merentasi satu atau lebih sendi.
Pergerakan pada sendi akan terhasil apabila berlaku kontraksi. Namun, bagi otot rangka di muka, ia melekat pada kulit pada satu hujungnya. Keadaan ini membolehkan kita mengedut dan mengerutkan muka untuk menunjukkan emosi. Otot-otot ini lebih dikenali sebagai otototot ekspresi muka. Otot artikular pula adalah otot rangka yang mempunyai satu hujung melekat pada kapsul sendi. Tugas otot ini adalah menarik kapsul sendi semasa berlaku pergerakan supaya kapsul tidak terperangkap dalam sendi yang bergerak.
Sfinkter pula adalah otot rangka yang berbentuk cecincin. Ia terdapat di sekeliling kelopak mata, bibir mulut dan anus. Konstriktor adalah otot rangka yang tersusun berbentuk tiub. Otot ini membentuk farinks dan bahagian atas esofagus.
Sumber: Abdul Hamid Abdul Rashid (2001)
sumber : buku sumber sains sukan
Memahami Sistem Otot Manusia Dengan Ringkas
Reviewed by Coach M
on
August 01, 2019
Rating:
No comments: