Tenaga memberikan manusia kebolehan untuk melakukan sesuatu iaitu keupayaan melakukan kerja. Tenaga kimia, tenaga mekanik, tenaga haba, tenaga cahaya, tenaga elektrik dan tenaga nuklear merupakan enam jenis tenaga. Setiap jenis tenaga berupaya untuk berubah ke bentuk tenaga yang lain. Manusia boleh melakukan pergerakan anggota tubuh dan bekerja hasil daripada perubahan tenaga kimia kepada tenaga mekanik. Kita boleh membahagikan tenaga kepada tenaga aerobik dan tenaga anaerobik. Tenaga anaerobik pula terbahagi kepada dua iaitu tenaga fosfat dan tenaga asid laktik.
Apa Itu Metabolisme?
Metabolisme adalah berkaitan dengan segala perubahan yang berlaku di dalam badan berhubung dengan kegunaan bahan-bahan makanan. Semua makhluk yang hidup akan mengalami proses metabolisme. Kadar metabolisme akan bertambah secara berlipat ganda apabila seseorang melakukan pekerjaan seperti pergerakan atau penghadaman makanan. Sebaliknya semasa kita berehat, kadar metabolisme akan berkurangan.
Metabolisme adalah jumlah tenaga yang diperlukan bagi menetapkan suhu badan. Selain itu, ia juga untuk menggalakkan organ-organ penting dalam tubuh untuk bekerja. Di dalam proses metabolisme, ada dua perubahan yang berlaku:
(a) Pembinaan (Anabolisme)
Proses pembinaan otot dan lain-lain tisu dalam badan. Pembinaan ini boleh berlaku daripada asid amino yang diperolehi daripada protein, atau daripada lemak. Hasil daripada pembinaan asid amino dan lemak adalah asid lemak atau gliserol. Kadar anabolisme yang tinggi berlaku semasa pertumbuhan dan semasa penyembuhan daripada penyakit.
(b) Pengungkaian (Katabolisme)
Adalah proses untuk mengungkaikan lemak atau glukos kepada karbon dioksida dan air. Tujuannya adalah untuk membebaskan tenaga bagi melakukan kerja. Kadar katabolisme yang tinggi berlaku semasa seorang dijangkiti penyakit dan semasa waktu mati akibat kelaparan.
Kita mendapat tenaga untuk tubuh badan melalui bahan makanan yang kita makan. Tiga jenis zat makanan yang membekalkan tenaga adalah karbohidrat, protein dan lemak. Tenaga daripada tiga jenis zat makanan di atas adalah untuk:
- Menetapkan suhu badan
- Menggalakkan kecergasan tugas organ penting seperti bernafas, pengaliran darah dan penguncupan jantung
- Menjalankan gerakan kerja seharian.
Istilah kadar metabolisme basal (BMR) diguna untuk menunjukkan jumlah keseluruhan aktiviti metabolisme. Kadar metabolisme ini diambil sewaktu badan dalam keadaan rehat dari segi fizikal dan mental. Kenapa dilakukan dalam keadaan rehat? Kerana pada waktu ini, tisu bekerja pada tahap yang paling minimum dan menyebabkan kadar oksigen yang diperlukan adalah sedikit.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kadar metabolisme seseorang. Faktor-faktor tersebut adalah saiz tubuh, umur, jantina, iklim, kepanasan, jenis pakaian dan jenis pekerjaan. Namun, kadar metabolisme bergantung kepada aktiviti yang dilakukan oleh individu. Kadar metabolisme individu yang berkerja manual seperti berkebun adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan individu yang bekerja di pejabat yang banyak duduk.
Kadar metabolisme pada penyakit juga berbeza dan dipengaruhi oleh beberapa kelainan pada kelenjar tiroid. Keadaan hipertiroidisme akan meningkatkan kadar metabolisme kerana kelenjar tiroid melakukan kegiatan yang berlebihan. Manakala, penyakit yang aktiviti kelenjar tiroidnya kurang seperti kretinisme dan miksedema akan menurunkan kadar metabolisme.
Kadar metabolisme disukat dengan mengira jumlah haba yang dihasilkan di dalam badan. Seseorang mestilah benar-benar berehat tanpa memakan apa-apa bagi tempoh 12 jam pada suhu udara biasa. Jika keputusannya adalah +10, ia membawa erti bahawa itu adalah 10% melebihi kadar biasa. Jika keputusannya -10 ia membawa erti bahawa ia adalah 10% kurang daripada kadar biasa. Kadar yang tinggi biasanya berlaku pada lelaki muda dan mempunyai permukaan badan yang luas. Faktor ini menyebabkan kehilangan haba dengan lebih banyak.
Oleh itu, manusia perlu makan untuk menggantikan haba yang hilang. Kita juga perlu makan untuk mengekalkan penghasilan tenaga semasa penghasilan haba berlaku. Jumlah tenaga yang dikeluarkan oleh zat makanan dalam nilai kalori adalah:
(a) Protein = 17kJ (4.1kcal) setiap gram
(b) Lemak = 38kJ (9.3kcal) setiap gram
(c) Karbohidrat = 17kJ (4.1kcal) setiap gram
Manusia memerlukan kalori untuk:
(a) Mencegah kehilangan berat badan
(b) Mengekalkan suhu tubuh
(c) Membekalkan tenaga bagi aktiviti semua sel, tisu, kelenjar dan organ.
Sumber: buku sumber sains sukan
Apa Itu Metabolisme?
Reviewed by Coach M
on
August 03, 2019
Rating:
No comments: